Guru agama baru selesai mengajar rentung kereta terbakar
PENDANG: Seorang guru agama maut apabila kereta dipandunya terbakar selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Sungai Jagung, Padang Pusing, dekat Pendang pada Ahad.
Dalam kejadian jam 4.40 petang itu Yahya Asy’ari, 65, yang baru selesai mengajar di Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Lubuk Reba.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian melibatkan lima kenderaan iaitu Perodua Viva, Proton Saga, Toyota Hilux, Perodua Myvi dan sebuah Proton Wira.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Viva yang dipandu mangsa dari arah Sungai Jagung menghala ke Padang Pusing cuba memotong kereta Proton Saga di hadapannya.
“Bagaimanapun mangsa bertembung dengan Toyota Hilux sebelum terbabas dan melanggar dua buah kenderaan lain.
“Akibat pertembungan itu, Perodua Viva itu dipercayai terseret lebih 10 meter di atas jalan lalu terbakar menyebabkan pemandunya terperangkap dan rentung terbakar,” katanya di sini, hari ini.
Arriz Sham berkata, kemalangan itu membabitkan 12 orang mangsa di mana dua cedera ringan manakala sembilan mangsa tidak mengalami kecederaan.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Pendang mengambil masa lima minit untuk memadam kebakaran.
“Mayat mangsa ditemui rentung di tempat duduk pemandu dan dikeluarkan selepas itu.
“Mayat di hantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.
Sumber : malaysianews