TUNANG M4UT KEMALANG4N DUA MINGGU SEBELUM TARIKH NIKAH
SUNGAI PETANI: Hasrat seorang gadis mendirikan rumah tangga dengan tunangnya tidak kesampaian apabila bakal suaminya itu maut dalam kemalangan di Jitra dekat sini Jumaat lalu.
Noor Shiada Mohd. Ridwan, 22, dari Kampung Sungai Pasir di sini berkata, dia dan arwah, Mohammad Alif Afifi Yaridi, 22, merancang mengadakan majlis perkahwinan pada 13 Disember ini selepas bertunang sejak 21 Julai lalu.
“Kami bertunang pada tarikh sambutan ulang tahun kelahiran arwah dan memilih 13 Disember sebagai tarikh nikah kerana tarikh itu hari lahir saya.
“Saya sedih kerana tidak sampai dua minggu lagi untuk bergelar suami isteri, saya kehilangan arwah,” kata Noor Shiada ketika ditemui di rumah keluarga Mohmmad Alif di Taman Permatang Katong Kota Kuala Muda, di sini semalam.
Mohammad Alif maut apabila motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori dan dua lagi motosikal di Kilometer 33.5, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Jitra pada pukul 9.18 malam, Jumaat lalu.
Noor Shiada memberitahu, dia akan menyimpan semua barang hantaran arwah sebagai tanda kenangan perhubungan mereka berdua sejak dari alam persekolahan.
Sementara itu, ibu Mohammad Alif, Munirah Mustaffa berkata, dia kehilangan seorang anak yang baik dan penyayang serta bertanggung jawab bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada tunangnya.
“Semua persiapan untuk majlis pertunangannya dahulu dibuat menggunakan wang simpanannya dan disempurnakan hasil perbincangan bersama ahli keluarga.
“Malah persiapan untuk majlis perkahwinannya pertengahan Disember ini juga telah siap sepenuh dan kami hanya menunggu tarikhnya sahaja untuk dilangsungkan namun keadaan menjadi sebaliknya,” katanya.
sumber: UTUSAN via https://wowberita.my/